Sabtu, 25 Oktober 2014

Selamat Meraikan Tahun 1436 Hijrah


1436 Hijrah, seperti tahun-tahun sebelumnya,  akan sentiasa mengingatkan aku tentang usia, tentang nikmat dan rahmat yang ku perolihi sepanjang hayat. Selamat meraikan Tahun 1436 Hijrah kepada saudara seagama ku yang dikasihi.

Tiada lagi apa yang dapat ku ungkapkan selain dari kesyukuran. Kesyukuran yang terbit dari lubuk hati yang ikhlas yang ingin ku kongsikan kepada siapa jua yang mengenal diri ku.

Aku dilahirkan dari keluarga yang cukup sederhana, dalam lingkungan masyarakat yang kecil.  Tahun 1958 adalah tahun kelahiran ku, dan beberapa tahun selepas kelahiran ku, negara ku dilanda gelombang revolusi yang amat kencang, sehingga mampu membentuk diri ku sebagai warga kelahiran zaman revolusi yang memiliki rasa tanggung jawab terhadap bangsa dan negara.

Walau pun tidak kesampaian untuk memegang sebarang ijazah di pengajian tinggi, namun semangat untuk membena diri dan masyarakat sekeliling sebagai masyarakat berpengatahuan dan berjatidiri tidak pernah luntur. Aku berkesempatan menabur bakti dan bergiat dalam pertubuhan belia dimana sekurang-kurangnya, aku dapat menimba pengalaman dan bertukar ilmu disamping menjadi mentor kepada belia-belia yang pernah ku pimpin dalam kelompok yang besar. Dalam pergerakan belia, aku tidak mengejar sebarang jawatan kerana bagi ku aku lebih suka tidak memegang sebarang jawatan yang membuatkan aku bebas bergaul secara dekat dan memahami masyarakat belia yang terdiri dari anak anak lepasan sekolah, penuntut-penuntut yang sedang bercuti menungu keputusan peperiksan, dan tidak kurang juga gologan belia yang tercicir yang lebih awal berhenti sekolah.

Segala agenda belia ketika itu adalah merupakan sebahagian dari kehidupan ku, dan terkadang ianya terbawa-bawa kedalam mimpi dan igauan ku dan teman teman seperjuangan ku. Bila ku ukur dengan usia ku ketika itu dengan belia ketika ini, mungkin aku tidak akan menemui belia belia yang mampu berfikir dan bercita-cita untuk menubuhkan parlimen belia (ketika itu) walau pun kami menyedari ianya hanya merupakan angan angan yang akan pudar di telan masa. Ketika itu Brunei belum merdeka, dan masyarakat ditakut-takutkan dengan ancaman 'tangkap tanpa bicara' jika ada yang coba bercakap atau berkumpul lebih dari 3 orang membincangkan hal hal politik. Namun dalam serba keikhlasan, ketakutan itu terhakis kerana didalam jiwa ku dan sesetengah teman teman seperjuangan ku ketika itu merasakan kami perlu berfikir dan berbuat sesuatu untuk negara, mengapa mungkin kami akan di aniaya dan disumbat kedalam tahanan politik yang tidak akan dibicarakan hanya kerana kami mempunyai rasa kecintaan pada negara begitu mendalam. Kami menyedari bahawa mungkin terlalu awal untuk kami berbicara soala politik. Namun itulah diriku dan sesetangah teman teman ku, yang terdiri dari belia dan pemimpin belia yang pernah disumbat ke dalam tahanan politik di tahun 70an. Sekurang-kurangnya keadaan ketika itu lebih menyumbang kepada kesedaran dari hanya cuma sebagai lambang, yang menurut telunjuk dan tidak pasti hala tuju.
Menjahit Azimat....demi Brunei Tercinta
Syukur alhamdulillah, agenda yang menjadi mimpi dan igawan kami itu ketika ini sedang mekar mewarnai perjalanan hidup masyarakat semenjak Brunei Merdeka. Walau pun ianya tersembunyi atau senghaja disembunyikan, namun aku begitu yakin, bahawa ALLAH telah memakbulkan sebahagian doa kami ketika itu.

Sebenarnya, kemakmuran yang kita kecapi selama ini adalah sumbangan doa dan tetisan airmata banyak pihak yang tidak boleh diketepikan. Kita perlu sedar...tidak negara ini berdiri tegak tanpa doa ikhlas dari rakyat yang setia...dan rakyat yang setia itu ada di mana-mana.

Akan ku sambung ristaan ini dalam ungkapan sejuta kesyukuran ku di kesempatan yang akan datang. Semoga ALLAH akan terus melindungi ku, masyarakat sekeliling ku dan Negara ku dari sikap lupa diri dan tidak menghargai pengorbanan orang lain yang telah hilang sejarahnya digulong zaman.

Note : Gambar hiasan di atas ku rakam seawal pagi bersama Anakda Sheikh Mansur Sheikh Mohammad, anak salah seorang Pejuang Kemerdekaan di era 60an